Ketua Kampung Lata Kinjang, Tok Batin Taha
Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK), Encik Haslam Abdullah ketika ditemui turut mengesahkan Lata
Kinjang banyak menyimpan kisah misteri yang sangat unik . “Bila waktu
lapang saya bercerita kepada anak cucu untuk mendengar kisah Lata
Kinjang,“ kataTok Batin Husin yang menyebut lata tersebut telah diteroka
oleh empat keturunan bermula daripada datuknya, Allahyarham Mat Yakin.
Setakat ini belum ada usaha-usaha untuk membukukan cerita-cerita misteri dan sejarah Lata Kinjang. Ini bermakna, apabila kalangan orang tua-tua meninggal dunia, sekaligus akan lenyaplah cerita lagenda Lata Kinjang untuk diketahui oleh generasi muda.
Tok Batin Husin berkata, di sekitar lata itu terdapat beberapa kesan yang ada kaitannya dengan sejarah kemunculan Lata Kinjang sejak ditemui oleh manusia beratus tahun lalu. Dia sendiri mengetahui sejarah lata itu daripada cerita mulut yang didengar daripada datuknya Allahyarham Mat Yakin dan bapanya Allahyarham Taha. Beliau berharap, ada di kalangan sembilan orang anak dan dua belas orang cucunya akan menjadi penyambung cerita mengenai sejarah Lata Kinjang kepada sesiapa yang ingin mendengar kisahnya.
Encik Haslam pula menyebut, ditingkat tiga lata terdapat bekas
kesan tapak kaki Kijang yang melarikan diri atas kawasan lata setelah
dikejar oleh Harimau Akar yang telah disumpah oleh kelembai menjadi
batu. Kesan tapak kaki Kijang dan batu besar dari lembaga Harimau Akar
masih boleh dilihat tersergam ditingkat tiga lata tersebut.
Di
kawasan lata itu juga terdapat kesan kubur anak kelembai yang terbaring
memanjang dalam lubang kubur yang sudah menjadi batu, bekas tapak kaki
kelembai termasuk lesong menumbuk padi yang telah disumpah menjadi batu.
Beliau turut menceritakan kisah misteri seorang wanita
cantik yang dipercayai sebagai ”Puteri Bunian” yang pernah menjelma di
kawasan lata itu pada masa silam sehingga menarik perhatian seorang
hartawan lnggeris yang bercita-cita ingin mengahwini puteri itu .
Menurut
ceritanya, hartawan lnggeris itu yang secara kebetulan berkunjung ke
Lata Kinjang dalam tahun 1900, telah diberitahu oleh masyarakat Orang
Asli di situ mengenai penjelmaan seorang wanita cantik di kawasan lata
terutama pada musim bulan mengambang.
Kerana terlalu
ingin hendak melihat wajah puteri bunian itu, hartawan lnggeris itu
telah membina sebuah banglo ditingkat satu lata dan membina tangga batu
dari bawah hingga kepuncak lata itu. Beliau membina banglo itu sebagai
tempat penginapannya untuk melihat secara dekat wajah puteri bunian yang
dikatakan sering menampakkan dirinya bila menjelang senja.
Tetapi,
setelah menunggu berbulan-bulan di situ, hajat hartawan Inggeris itu
tidak kesampaian, lalu dia merasa kecewa dan terus pulang ke negara
asalnya di Eropah dan telah meninggal dunia beberapa bulan kemudiannnya.
Banglo yang dibina dengan kos yang mahal telah musnah dan rosak sedikit
demi sedikit dan sekarang hanya tinggal rangkanya sahaja.
Encik Haslam memberitahu, “Puteri Bunian” muncul ditengah-tengah
lata untuk mandi bersama pakaian yang dipakainya dan berdiri tegak di
atas batu lata dengan rambutnya yang panjang mengurai melepasi punggung.
Puteri bunian itu yang disifatkan sebagai penunggu lata hanya
menunjukkan dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu
identitinya dikenali oleh manusia biasa. Kini, lagenda Puteri Bunian itu
hanya tinggal dalam lipatan sejarah sahaja kerana dia tidak muncul lagi
di kawasan lata tersebut. Mungkin disebabkan lata tersebut telah
menjadi tumpuan ramai dan dia enggan menjelmakan dirinya. Di kawasan
lata itu juga terdapat serumpun pokok buluh perindu yang hanya boleh
diambil oleh orang-orang tertentu sahaja. Allahyarham Seniman Agung
P.Ramlee dikatakan memiliki Buluh Perindu yang diambil daripada Lata
Kinjang untuk ubat memerdukan suaranya.
Encik Haslam
memberitahu, di kawasan lata itu juga terdapat banyak kambing gurun
tetapi sukar diperangkap kerana ianya sangat lincah dan pandai
menghilangkan diri. Beliau berkata, semua cerita misteri yang berlaku di
kawasan lata itu menjadi cerita lisan yang bersambung dari mulut ke
mulut sahaja. Beliau sendiri mengetahui cerita misteri lata daripada
datuknya, Allahyarham Mat Yakin.
“Saya bersetuju jika ada
usaha untuk membukukan sejarah lagenda Lata Kinjang dijalankan oleh
mana-mana pihak sama ada menerusi cerpen, novel, puisi atau pembikinan
drama filem,’tegasnya. Beliau yakin, misteri lagenda Lata Kinjang akan
menarik perhatian khalayak jika dapat dijadikan drama atau filem. Ia
terserahlah kepada para karyawan filem dan drama untuk menjawabnya.



No comments:
Post a Comment